KOTA KINABALU: Perdana Menteri telah bersetuju memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak untuk melaksanakan
urusan pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan zon C2.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata persetujuan tersebut tercapai pada 18 Oktober 2021 semasa Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 semasa perbincangan memberikan kuasa autonomi kepada Sabah dan Sarawak dalam aspek perikanan laut dalam.
“Sebagaimana semua sedia maklum, buat masa ini, pengeluaran lesen vesel dan peralatan menangkap ikan laut dalam di Sabah dilaksanakan melalui perwakilan kuasa oleh Ketua Pengarah Perikanan menurut Akta Perikanan 1985 [Akta 317] kepada Pengarah Perikanan Negeri Sabah.
“Pemberian kuasa ini bermula dengan penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan sehingga pengeluaran permit dan lesen vesel dan peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2 tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan secara bersama.
“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga sentiasa bersedia mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri Sabah supaya kepentingan pengurusan sektor perikanan Negeri Sabah diambil kira dalam cadangan penambahbaikan kepada Akta Perikanan 1985 [Akta 317] yang mana ia akan dilaksanakan setelah kajian berkenaan penambahbaikan tersebut dimuktamadkan.
“Saya percaya inisiatif Kerajaan melalui pemberian kuasa ini akan dapat menjaga kepentingan Sabah dan keharmonian semua sebagai Keluarga Malaysia,” beliau berkata semasa sesi taklimat MA63 bersama Ketua Menteri dan jemaah menteri kabinet.
Ronald juga berkata pada masa yang sama, pihak Sabah juga boleh melaksanakan dasar-dasar sedia ada dan dasar-dasar baharu berkaitan pengurusan perikanan yang bersesuaian dengan keperluan industri perikanan di Sabah dengan mengikut norma-norma instrumen pengurusan perikanan antarabangsa.
Industri perikanan Sabah mempunyai potensi pembangunan yang tinggi dan harus terus dikembangkan memandangkan pada ketika ini Negeri Sabah mempunyai seramai 30,486 orang nelayan yang menghasilkan sejumlah 206,703 tan metrik ikan setahun dengan nilai melebihi 1.2 bilion ringgit.