SEMPORNA: Bersempena dengan Hari Laut Sedunia, Green Semporna dan Pemimpin Belia IKLIM Mabul memasang lebih daripada 40 “Rangka Coral” di pusat peranginan ternama Pulau Mabul.
Pengasas Green Semporna Adzmin Fatta berkata Pemimpin Belia IKLIM Mabul adalah sekumpulan belia yang diberikan latihan dan bimbingan oleh Green Semporna untuk menjalankan aktiviti restorasi terumbu karang di Pulau Mabul menggunakan kaedah “Rangka Coral ”.
Beliau berkata tujuan latihan tersebut juga adalah untuk meningkatkan kemahiran serta kesedaran penduduk pulau khususnya golongan belia terhadap kepentingan memulihara terumbu karang.
“Usaha restorasi terumbu karang ini adalah salah satu tindakan iklim belia untuk menyokong usaha adaptasi komuniti di Pulau Mabul terhadap kesan perubahan iklim.
“Selain daripada ancaman daripada aktiviti manusia, terumbu karang pada masa kini juga berhadapan dengan kesan perubahan iklim yang menyebabkan taburan terumbu karang semakin berkurang dari masa ke semasa.
“Sempena dengan Hari Laut Sedunia, saya berharap semua orang akan mula sedar kepentingan laut dan bersama-sama memainkan peranan untuk menjaganya; ini kerana laut adalah masa depan kita!”, tambah Adzmin juga merupakan pengurus Program di Reef Check Malaysia di satu kenyataan media.
Usaha restorasi ini juga adalah salah satu projek berpanjangan oleh Green Semporna dengan kerjasama oleh WWF-Malaysia dan Reef Check Malaysia serta dibiayai oleh GEF SGP UNDP Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
“Terumbu karang memainkan peranan penting sebagai sumber ekonomi dan kehidupan orang-orang di pulau kami. Pada masa yang sama juga, terumbu karang semakin terancam dan perlu dilindungi.
“Sebagai Pemimpin Belia, kami memainkan peranan untuk bersama-sama memulihara terumbu karang ini melalui inisiatif restorasi karang bersama Green Semporna”, ulas Hanafi Garwas – Pemimpin Belia IKLIM Mabul.