KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memandang serius tindakan polis
memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah
dan Sarawak tanpa mendapat pandangan dari Kerajaan Negeri terlebih dahulu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meminta supaya pihak polis
memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.
“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu
prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota
mereka,” katanya.
Hajiji yang sedang menunaikan ibadah Umrah juga berkata beliau akan mendapatkan
penjelasan daripada pihak polis mengenai perkara berkenaan.