KOTA KINABALU, 23 Ogos 2022: Sabah berharap untuk membangunkan industri halal hingga ke peringkat global menggunakan platform digital CoreHalal.
Platform berkenaan dibangunkan syarikat pembangunan aplikasi bertapak di Kota Kinabalu, Synxsoft Sdn Bhd yang menumpukan bidang pengurusan risiko dan latihan berdasarkan garis panduan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata CoreHalal mempunyai potensi yang besar memandangkan ia adalah satu-satunya platform digital yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu.
“Penggunaan platform digital seperti ini dalam perniagaan bukan saja memperbaiki pembangunan industri halal di Sabah, malah turut memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan merebut peluang menerusi pembangunan teknologi.
“Dengan platform digital CoreHalal, ia akan menyediakan panduan kepada usahawan dalam proses mendapatkan pengiktirafan halal dan membantu memperbaiki keberkesanan perniagaan halal mereka secara digital.
“Ini kerana platform ini bukan saja memfokuskan kepada sektor makanan dan minuman tetapi juga termasuk semua sektor yang disenaraikan di bawah industri halal seperti farmaseutikal, barangan pengguna dan kosmetik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Yakub menambah, kerajaan negeri akan terus menyokong CoreHalal untuk bekerjasama dengan rakan strategik bukan saja di Malaysia tetapi juga di luar negara seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Emeriah Arab Bersatu / Dubai.
Katanya, pembangunan pesat industri halal Malaysia berjaya menembusi pasaran global khususnya dalam sektor makanan halal dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan berkaitan barangan dan perkhidmatan halal.
“Pembangunan ini menunjukkan bahawa industri halal Malaysia menerima maklum balas yang positif dalam negara dan juga di peringkat global.
“Ia menawarkan pelbagai peluang kepada pengeluar produk dan perkhidmatan memandangkan permintaan untuk kedua-duanya meningkat sejajar dengan peningkatan populasi dunia dan penerimaan pengguna bukan Islam terhadap industri ini.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Pusat Ekonomi dan Inovasi Kreatif Sabah (SCENIC), Viviantie Sarjuni, berkata MoU yang akan ditandatangani di Australia itu dapat mempromosi produk halal digital Malaysia ke seluruh dunia.
“Kita menjangkakan jumlah minimum RM500,000 hasil tahunan daripada MoU itu.
“Bagi menjayakannya, SCENIC membantu CoreHalal dari segi penyediaan subsidi ke Australia dan membantu mereka dalam mempromosikan CoreHalal dan penyelesaian mereka secara global,” katanya.