TENOM: Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif dalam merangka Pelan Pemulihan Sabah ‘Tourism Recovery Roadamp’ dalam usaha memulihkan industri pelancongan yang telah hampir dua tahun berperang dengan penyakit Covid-19.
Justeru itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata pendekatan yang diambil di bawah pelan tersebut ialah memperhebatkan usaha untuk merangsang pembangunan sektor pelancongan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan terutama di kawasan luar bandar.
“Sejajar dengan usaha memulihkan industri pelancongan, saya yakin dan percaya, inisiatif Hentian Budaya Tenom 2022 menerusi program Karnival Onsoi 2.0 tahun 2022 ini merupakan salah satu pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dalam mengangkat dan mempromosikan industri pelancongan di kawasan Pusat Kebudayaan Murut Sabah Tenom.
“Bagi mempelbagaikan lagi pengisian sepanjang karnival berlangsung, acara-acara kreatif seperti pertandingan Body Onsoi, Kucing Onsoi, Tarian Onsoi, Akustika Onsoi, Seni Lukis, pameran dan pembukaan gerai jualan yang disusun selama tiga hari semestinya mampu meningkatkan prestasi pelancongan sedia ada,” beliau berkata di halaman Faceboook.

Jafry berkata pelaksanaan program seumpama itu bukan hanya menyasarkan penyertaan badan kebudayaan dan pelajar sekolah tetapi juga membuka ruang kepada para peniaga tempatan untuk menjana pendapatan melalui penjualan makanan dan produk tempatan.
“Keterlibatan masyarakat setempat di dalam membangunkan industri pelancongan harus dipuji dan dibiasakan kerana dengan adanya interaksi dua hala dalam kalangan masyarakat mampu memupuk kesepaduan ekonomi dan sosial masing-masing.
“Bagi mengukuhkan lagi usaha ini, golongan sasar juga harus diperluaskan lagi dengan menyasarkan keterlibatan pelancong dari luar negara.
“Justeru itu, saya mengesyorkan agar program ini mampu membuka ruang dan peluang kepada peniaga tempatan untuk terus mempamerkan produk berasaskan budaya agar dapat diperlihatkan kepada pelancong dari luar negara tentang keunikan dan keistimewaan yang ada di Sabah.
“Selain itu juga, melalui program ini juga, dilihat dapat mengasah bakat anak muda khususnya pelajar sekolah dalam bidang tarian etnik dan muzik tradisi dalam pertandingan tarian dan muzik yang ada agar perkara seperti ini dapat dipertontonkan kepada pelancong yang berkunjung ke karnival pada kali ini.”
“Melalui usaha-usaha ini bukan saja menarik pelancong yang ‘first timer’ tetapi juga menggamit semula kehadiran pelancong-pelancong sebelum ini yang pernah berkunjung ke Sabah.
“Secara langsung, ia akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi Sabah sekali gus memberi kesedaran kepada orang awam tentang mustahaknya pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya agar dapat dinikmati oleh setiap golongan masyarakat.”
Turut hadir YB Datuk Rubin Balang Adun Kemabong, YB Datuk Raime Unggi, Datuk Sr. Hj Mohd Yusrie Abdullah, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Encik Mas Syazwan Hj Mashod, Pegawai Daerah Tenom, Datuk OKK Titing bin Putang, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Encik Mackey Apison, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.