KOTA KINABALU: Sabah telah berjaya menjalankan pembedahan otak ke atas seorang pesakit dalam keadaan sedar sepenuhnya.
Pembedahan tersebut yang dinamakan “awake craniotomy” dilakukan oleh pakar-pakar dari Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 12 Januari 2023 di Dewan Bedah HQE 2.
Pembedahan ini adalah yang pertama dijalankan di negeri Sabah, hasil usaha Pakar Bedah Otak HQE 2 iaitu Mr. (Dr.) M. Sofan Zenian dan Mr. (Dr.) Hezry Abu Hasan, bersama dengan Dr Yeap Boon Tat, Pakar Bius Otak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, serta Mr. (Dr.) Liew Boon Seng, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Otak dari Hospital Sungai Buloh.
Pembedahan otak “awake craniotomy” telah lama diperkenalkan di dunia sejak awal tahun 2000 lagi dan telah dimulakan di Malaysia seawal tahun 2010 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Persiapan dan perbincangan rapi di antara HQE 2, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dan UMS telah dimulakan sejak November 2022 bagi melaksanakan pembedahan ini.
Pesakit merupakan seorang wanita berusia 50 tahun yang mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober 2022 dan disahkan menghidap “multiple meningioma” di bahagian kiri otak setelah didiagnosis di HDOK Sandakan.
Keadaan klinikal dan gejala yang dialami pesakit semakin teruk sehingga menjejaskan kualiti kehidupan beliau.
Oleh yang demikian, keputusan untuk melakukan pembedahan otak menggunakan teknik “awake craniotomy” adalah bertujuan untuk merawat dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani kualitikehidupan yang lebih baik.