KOTA KINABALU:Sebanyak 300 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) baharu disasarkan hingga penghujung tahun 2021.
Setakat hari ini, Sabah mempunyai 1,066 KRT.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya berkata pertambahan itu membolehkan masyarakat lebih aktif dalam interaksi sesama penduduk, memudahkan usaha kerjasama seterusnya membina perpaduan dalam kehidupan.
“Selain itu, kepelbagaian bangsa, budaya dan agama dalam kalangan masyarakat memerlukan suatu aktiviti dan persatuan yang mampu merapatkan hubungan para penduduk meski mempunyai latar belakang yang berbeza.
“Hal ini juga dapat dilihat apabila Malaysia diuji dengan pandemik Covid-19, ahli-ahli KRT menghulurkan bantuan melalui usaha menjahit Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk para petugas barisan hadapan.
“Ini membuktikan kesatuan dan keprihatinan masyarakat dalam usaha menangani penularan Covid-19 sekaligus sebagai tanda perpaduan dalam menjalani kehidupan yang sejahtera,” katanya dalam Majlis Penyerahan PPE daripada KRT Sabah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan bersama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah, Delin Liet Blaun, selaras dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Perpaduan Negara.