BEAUFORT: Seorang lelaki kehilangan deria penglihatan setelah dicederakan oleh rakan sekerja dengan sebatang penyapu.
Menurut ketua polis daerah DSP Azmir Abd Razak, punca kejadian adalah kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang yang tidak melawan semasa mangsa dimarah oleh mandor tempat mangsa bekerja di Ladang Sawit Benonok pada 2 bulan yang lepas.
Sebelum pergaduhan tersebut berlaku, kedua-dua telah minum minuman keras.
“Suspek kemudiannya mencabar mangsa untuk bergaduh dengannya dan berkata “Kau memang tidak berani bah kan?” “Mari la saya test kau..” sambil suspek mematahkan sebatang penyapu.
“Selepas mangsa nampak suspek memegang sebatang penyapu yang telah dipatahkan oleh suspek tadi, mangsa pun berdiri untuk beredar dari rumah suspek.
“Semasa mangsa hendak keluar dari rumah tersebut, suspek dengan tiba-tiba terus memukul mangsa sebanyak sekali di bahagian muka dan terkena di bahagian mata sebelah kanannya,” beliau berkata di satu kenyataan media.
Tiada saksi yang nampak kejadian semasa mangsa dipukul kerana hanya mangsa dan suspek sahaja berada di dalam rumah tersebut.
Azmir juga berkata bahawa ibu mangsa telah membuat aduan tersebut setelah doktor yang membuat pembedahan mata mengesahkan mangsa mengalami kecacatan buta yang kekal.
Mangsa masih lagi menerima rawatan di hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.
Susulan daripada aduan tersebut, pada 16 Feb, pihak polis telah menangkap seorang lelaki di Jalan Kompleks Sukan Beaufort.
“Keterangan hasil soalsiasat awal keatas tangkapan ini menyatakan tidak mengaku ada memukul mangsa semasa kejadian. Siasatan diteruskan.”