KOTA KINABALU: Keluarga pesakit kanak-kanak terutama daripada golongan berpendapatan rendah dengan bakal mempunyai kemudahan untuk menginap di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) awal tahun depan.
Inisiatif ini merupakan projek Rumah Ronald McDonald di mana premis tersebut akan diletakkan di hospital berkenaan dan menyediakan penginapan pada harga berpatutan iaitu RM5 semalam.
Rumah Ronald McDonald tersebut akan dilengkapi 16 bilik keluarga dan kemudahan lain seperti dapur, ruang makan, bilik dobi, ruang istirahat, bilik permainan kanak-kanak dan juga bilik solat yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM3 juta.
Presiden Ronald McDonald Charity House (RMCH) Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, penginapan amal tersebut adalah yang pertama di Malaysia Timur dan keempat seumpamanya di Malaysia.
“Tiga lagi Rumah Ronald McDonald terdapat Semenanjung Malaysia iaitu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.
“Setakat ini, pembinaan Rumah Ronald McDonald di Sabah masih dalam peringkat memohon kelulusan daripada kerajaan negeri dan sekiranya semua proses berjalan lancar, pembinaannya dijangka bermula Oktober ini dan akan dibuka kepada orang awam sekitar Mac atau April 2023.
“Dengan adanya rumah ini diharap dapat sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga pesakit kanak-kanak terutama daripada golongan berpendapatan rendah dengan penyediaan penginapan pada harga berpatutan iaitu hanya RM5 semalam,” beliau menambah Rumah Ronald McDonald kelima juga dijangka akan dibina di Sarawak pada penghujung tahun 2023 atau awal 2024.