KOTA KINABALU. Laporan statistik sehingga 2 April 2020 menunjukkan bahawa terdapat 142 kes baharu pandemik COVID-19 di Malaysia.
Ini merekodkan jumlah kes keseluruhan sebanyak 2,908 kes dengan peningkatan 5.13% berbanding hari sebelumnya (1 April). Terdapat 45 kematian (2 April) dengan peningkatan sebanyak 4.65%. Salah satu dari kes kematian tersebut dilaporkan berlaku di negeri Sabah.
Rekod pandemik COVID-19 di Sabah juga masih menunjukkan wujudnya kes-kes baharu. Justeru, tanpa ada kesedaran yang tinggi dan sikap keperdulian yang bersungguh-sungguh, masyarakat di negeri Sabah boleh terdedah kepada kesan jangka panjang yang sangat merisaukan.
Kes Covid-19 di Sabah akan berkurangan seawal pertengahan bulan April.
Walaubagaimana pun, pakar UMS meramalkan bahawa kerunsingan ini tidak akan berlaku asal sahaja masyarakat yang berada di Sabah terus mematuhi langkah-langkah yang digariskan dalam PKP agar pengesanan awal dan pengasingan segera pesakit dapat dilakukan dengan teratur dan jayanya. Hanya dengan kaedah ini sahaja pertambahan kes di Sabah dapat dikurangkan seawal pertengahan bulan April ini.
Analisis ramalan kes COVID-19 di Sabah ini dibuat menggunakan model tertentu oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 Kampus UMS, di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UMS.

Menurut Profesor Madya Dr Richard Avoi, seorang Pakar Perunding Epidemiologi dan Biostatistik, hasil analisis menunjukkan jika tiada langkah kawalan dilaksanakan, model ini meramalkan bahawa kes-kes COVID-19 akan mencecah hampir 90,000 kes pada 27 Mei 2020, dan epidemik di Sabah akan berakhir menjelang awal Ogos 2020.
Manakala, jika hanya dengan kaedah pengasingan kes sahaja, ianya sukar untuk mengurangkan bilangan kes sebaliknya hanya sekadar melewatkan jangka masa untuk mencapai puncak kes iaitu sebanyak 2 minggu, iaitu sehingga 10 Jun 2020.
Selain itu, dengan langkah pelaksanaan perubahan perilaku (penjarakkan sosial dan kebersihan kendiri), ianya mampu mengurangkan jangkitan COVID-19 ke sekitar 20,000 kes. Ini sekaligus dapat melewatkan jangka masa untuk mencapai puncak epidemik ke sekitar pertengahan bulan Ogos 2020.
Menurut Dr Richard lagi, hasil analisis ramalan ini mendapati kaedah yang paling berkesan untuk mengawal epidemik COVID-19 di Sabah adalah melalui gabungan kaedah pengasingan awal kes jangkitan (diagnosis awal dan pengasingan) serta mengurangkan risiko tingkah laku akibat tidak mengamalkan penjarakkan sosial, penjagaan kebersihan diri dan menyahkuman permukaan.
Kes-kes Covid-19 diramalkan mencapai kemuncak hampir 250 pada pertengahan April.
Jika langkah pengasingan berkesan hanya pada tahap 40% dan PKP berkesan pada 50%, model ini meramalkan kes-kes COVID-19 mencapai kemuncak hampir 250 kes pada pertengahan April 2020.
Setelah itu, pengurangan kes secara sedikit demi sedikit akan berlaku. Model ini adalah berdasarkan data yang didaftarkan sehingga 31 Mac 2020 dan ianya boleh berubah apabila menerima data kes COVID-19 yang terbaru.
“Stay at home” adalah perbuatan patriotisme yang tinggi.
Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang juga merupakan Pengerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 menyarankan agar masyarakat dapat bersama-sama membantu kerajaan dalam mematuhi arahan PKP dengan mengamalkan langkah pencegahan setiap masa demi membendung penularan wabak COVID19 ini dengan jayanya.
“Pada saat-saat sukar seperti ini, setiap reaksi dan tindakbalas masyarakat kepada arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam masa PKP ini adalah dianggap nilai patriotisme yang sangat tinggi nilainya,” ujar Prof Dr Mohammad Safree.
Sumber kenyataan media: Universiti Malaysia Sabah
[…] Kes Covid-19 di Sabah akan berkurangan seawal pertengahan bulan April […]
LikeLike