KOTA KINABALU: Pelajar-pelajar dinasihatkan untuk bersabar atas keputusan penangguhan penerbangan balik ke Sabah.
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata keputusan tersebut dibuat disebabkan kesesakan pusat-pusat kuarantin di negeri ini.
Beliau juga menyarankan agar lebih baik pelajar-pelajar meraikan Hari Raya bersama rakan-rakan di kampus dalam keadaan yang lebih selesa.
“Adalah dimaklumkan bahawa Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ialah setiap pelajar yang tiba di negeri Sabah akan diswab dan ditempatkan di Pusat Kuarantin sehingga keputusan swab dikeluarkan.
“Sekiranya keputusan adalah negatif, maka baki tempoh kuarantin akan dijalankan di rumah masing-masing, tertakluk kepada kesesuaian infrastruktur rumah dengan mengambil kira faktor kesesakan dan risiko jangkitan kepada penghuni yang lain,” beliau berkata dalam satu kenyataan.
SOP ini telah diwajibkan ekoran terdapatnya kes pelajar sebuah IPT yang dibenarkan pulang ke rumah dan menjalani home quarantine telah disahkan positif Covid-19.
Ini mengakibatkan keluarga pelajar turut ditempatkan di pusat kuarantin.
Tujuan SOP ini adalah untuk melindungi pelajar dan keluarga pelajar terutama orang yang berisiko tinggi seperti orang tua, kanak-kanak dan orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik.
Kesesakan di Pusat Kuarantin
Dengan keperluan untuk berada di Pusat Kuarantin sementara menunggu keputusan swab diperolehi dan bilangan pelajar yang dijangka balik adalah sangat ramai iaitu yang berjumlah 6,796 orang, maka dijangka akan berlaku kesesakan di Pusat-Pusat Kuarantin yang disediakan oleh Kerajaan.

Sabah.
“Pusat Kuarantin yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah pelajar dan orang awam yang sangat ramai pada satu- satu masa.
“Kerajaan Negeri berusaha untuk mengelak daripada menempatkan pelajar di tempat yang tidak selesa,”.
Dr Yusof berkata bahawa Kerajaan Negeri amat memahami perasaan para pelajar dan prihatin dengan hasrat pelajar yang ingin pulang ke kampung masing-masing lebih lebih lagi di musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan yang akan disambut tidak lama lagi.
“Kerajaan Negeri melalui Menteri Pelajaran dan Inovasi telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengajian Tinggi tentang perancangan membawa balik para pelajar dengan seberapa segera iaitu sebelum perayaan bermula sehinggakan Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk membiayai separuh kos penerbangan pelajar.
“Namun disebabkan kekangan yang dinyatakan di atas maka penerbangan terpaksa ditunda sementara dan bukan nya dibatalkan bagi membolehkan penempatan pelajar di pusat-pusat kuarantin dapat dilakukan dengan lebih terancang.”
Dr Yusof juga mengingatkan pelajar untuk menyemak jadual kuliah masing-masing dan mengatur penerbangan balik ke kampus masing-masing atas perbelanjaan sendiri.