
KOTA KINABALU, 2 Julai 2020: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas 18,320 kotak minuman keras yang dianggarkan bernilai RM2,367,099 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, semua minuman keras pelbagai jenis itu dipercayai diseludup masuk ke negeri ini dari luar negara.
Katanya, rampasan minuman keras berkenaan dikesan disembunyikan dalam tujuh kontena di tiga lokasi berasingan yang membawa kepada penahanan tujuh individu termasuk seorang wanita.
“Serbuan pertama membabitkan serbuan di sebuah gudang di kilometer 27 Jalan Telipok Lama pada 23 Jun lalu yang berjaya menemui tiga kontena berisi 8,040 kotak minuman keras dan menahan dua lelaki.
“Serbuan kedua berlaku pada 29 Jun lalu membabitkan sebuah kontena yang diletakkan di Jalan Kilang Kolombong.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 2,600 kotak minuman keras disembunyikan di dalam kontena berkenaan,” katanya.

Zaini berkata, serbuan ketiga yang dijalankan pada hari yang sama di tapak penyimpanan kontena di Jalan Tuaran Bypass.
Katanya, dalam serbuan itu polis merampas tiga kontena berisi 7,680 kotak minuman keras pelbagai jenis dan menahan lima individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.