TENOM: Lapan penduduk kampung Angalor menarik nafas lega setelah Adun Melalap tampil untuk menyelesaikan kompaun yang berjumlah RM8,000.
Menurut Datuk Peter Anthony, kisah penduduk tersebut tular di media sosial kerana mereka telah dikompaun 1 ribu ringgit seorang pada 27 Januari 2020 yang lepas.
“Sepertimana penjelasan daripada penduduk yang terlibat, kompaun 1 ribu ringgit tersebut berpunca akibat melanggar SOP.
“Saya difahamkan mereka terdiri daripada warga emas dan OKU yang terpaksa turun ke Pekan Tenom untuk membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan,” beliau berkata di Facebook beliau selepas menjelaskan bayaran tersebut petang tadi.
Peter berkata tindakan tersebut dilakukan atas nilai kemanusiaan dan terpanggil untuk membantu mereka untuk membayar kompaun tersebut.
“Saya memahami situasi dan keadaan penduduk kampung yang tinggal jauh dari kawasan pekan.
“Malah ada di antara mereka yang tidak mempunyai akses internet dan tv untuk mengikuti perkembangan semasa terutamanya yang berkaitan dengan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “
Datuk Peter Anthony

Beliau juga berkata sempat menasihati mereka agar sentiasa mematuhi SOP pada masa akan datang.
“Semoga pertolongan kecil ini akan meringankan beban penduduk yang terlibat.
“Apa pun syukur pada yang maha Esa semuanya sudah selesai dan saya sempat membungkuskan makanan kepada mereka sebelum mereka pulang.
“Semoga kejadian ini akan memberi iktibar kepada kita semua agar sentiasa mematuhi SOP & saling mengambil berat antara satu sama lain.
“Bersama-samalah kita melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 agar kehidupan kita pulih seperti sediakala.”